Damainya Ixora 
RUMAH teres setingkat (Maya) yang hadir dengan keluasan binaan 105.166 meter persegi.
JIKA anda impikan suasana kediaman yang tenang dan jauh dari hiruk-pikuk bandar, Taman Ixora di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, ada sebab mengapa anda perlu tersenyum lebar. Dengan rekaan berkonsep moden dan tropikal, lokasi kediaman ini terdiri daripada rumah teres setingkat, dua tingkat, kediaman berkembar dan banglo. Terletak kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur, Taman Ixora menghimpunkan kediaman-kediaman ini di bawah nama yang indah seperti Maya (teres setingkat), Lestari (teres dua tingkat), Jentayu dan Lagenda (kediaman berkembar). Dengan kedudukannya yang strategik iaitu 10 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kawasan kediaman ini turut dikelilingi sekolah rendah dan menengah, masjid, pejabat-pejabat kerajaan dan balai polis. Eksekutif Pemasaran dan Jualan Getrahome Sdn. Bhd., Muhammad Nuruddin Amiron yang dihubungi Kosmo! memberitahu, pihaknya menyasarkan kakitangan-kakitangan kerajaan dan lapangan terbang sebagai penghuni kediaman Taman Ixora. "Oleh sebab Taman Ixora berada dalam radius 25 kilometer (km) dari Cyberjaya dan Putrajaya, maka, tiada masalah untuk kebanyakan berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Malah, mereka juga boleh berpuas hati dengan perjalanan tanpa tol," katanya. Lagipun, penghuni juga memiliki kemudahan laluan terus ke lebuh raya ELITE (KLIA), Putrajaya atau Cyberjaya, LDP dan PLUS. Terdiri daripada lima fasa pembangunan, Taman Ixora turut disifatkan sebagai sebuah pekan pesat membangun di bawah kendalian Majlis Perbandaran Sepang. Fasa pertama hingga fasa keempat terdiri daripada lot-lot kediaman manakala fasa kelima yang terdiri daripada sebuah stadium terbuka Perbandaran Sepang telah siap dibina. Menurut Muhammad Nuruddin, kediaman 135 unit teres setingkat Maya yang seluas 105.166 meter persegi itu merupakan fasa kedua pembangunan Taman Ixora selepas kediaman teres setingkat di Estika dan Mustika. 
RUMAH teres dua tingkat (Lestari) yang menawarkan empat bilik.
Setakat ini, lebih 50 peratus daripada 135 unit kediaman teres di Maya telah dijual. Kediaman teres setingkat Maya yang menawarkan 3 + 1 bilik itu hadir dengan siling tinggi dan kompaun kereta seluas 2.32257 meter persegi. Keluasan kompaun kereta ini membolehkan dua buah kereta diletak sebelah menyebelah. Antara ciri-ciri lain kediaman Maya termasuk pintu tandas kalis air (PVC) dengan pintu jenis kayu bersaiz besar serta berkualiti. Dinding simen luar disaluti dengan cat kalis cuaca manakala dinding simen dalam dengan cat elmusi. Bagi kediaman teres dua tingkat di Lestari pula, sebanyak 118 unit berkeluasan 149.573 meter persegi telah ditawarkan. Lestari menawarkan kediaman empat bilik dengan konsep kontemporari juga agar pemilik boleh mengubah suai tanpa sebarang masalah. Setakat ini, pemilik-pemilik untuk 29 unit sedang dalam proses penerimaan kunci. "Harga rumah teres Maya setingkat bersaiz bermula dari RM176,888 manakala kediaman teres Lestari dua tingkat pula bermula dari RM 225,800," katanya. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Getrahome Sdn. Bhd. di talian 03-5511 6618 atau fakskan soalan anda ke talian 03-5519 6618.
|